Friday 4 October 2013

PERSEMBAHAN MAKYONG


REPERTOIRE

1. Lagu Menghadap Rebab

~terpanjang & terpenting, simbol

penghormatan kepada rebab.

2. Lagu Kijang Mas

~dimainkan sebagai lagu instrumental sebelum bermula persembahan Mak yong.

3. Lagu Sindung

~dinyanyi oleh Pak Yung semasa hendak memberi arahan dan mendedahkanemosinya, juga 


dinyanyi oleh peran tua dan dimain sebagai lagu selingansebelum persembahan.

4. Lagu Sedayung

~lagu yang menyampaikan maklumat @

arahan kepada peran @ watak lain.

5. Lagu Mengambul

~dinyanyi oleh watak utama dalam adegan

sedih untuk menyampaikan berita sedih.


6. Lagu Saudara


~dinyanyi berselang-seli dengan lagu Kijang


Mas oleh seorang inang.

7. Lagu Pak Yong Muda

~dinyanyi oleh Pak Yong menyampaikan berita negeri semasa adegan sedih.

8. Lagu Mak Yong Muda

~dinyanyi oleh Mak Yong pada pertengahan cerita dalam adegan sedih.

9. Lagu Tuk Wok

~dinyanyi oleh peran tua semasa

menyampaikan berita @ meluah perasaan.

10. Lagu Barat

~ terdapat 4 versi iaitu Barat Anjur, Kisah

Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat.

11. Lagu Pikir

~dinyanyi oleh watak untuk meluahkan perasaan dan mengiringi tarian.

12. Lagu Yur

~dinyanyi oleh peran @ Pak Yong untuk

menyampaikan berita.

13. Lagu Balik Padi

~dinyanyi ketika gembira semasa dalam

perjalanan.

14. Lagu Berkhabar

~dinyanyi Pak Yong @ peran untuk

menyampaikan berita.

15. Lagu Gading Timah

~dinyanyi Pak Yong dalam cerita Tuan Puteri

Bergading Timah.

16. Lagu Kojol

~dinyanyi oleh peran untuk mengambarkan aksi

fizikal seperti mendayung sampan.

17. Lagu Buluh Seruas

~menggambarkan suasana.

18. Lagu Jamba (Gembal)

~menggambarkan suasana.

19. Lagu Yo Peran

~dinyanyi Pak Yong untuk memanggil peran tua pada

permulaan cerita, peran juga menyanyi lagu ini.

20. Lagu Anak Kumbang

~dinyanyi semasa gembira oleh Pak Yong, Mak

Yong, Puteri dan Putera.

21. Lagu Sri Gunung

~dinyanyi Peran @ Pak Yong untuk

menyampaikan berita.

~juga dinyanyi semasa selingan sebelum

persembahan cerita.

22. Lagu Mengulik

~lagu timang-timagan untuk kanak-kanak &

dewasa.

23. Lagu Dayung Sampan

~dinyanyi semasa melakukan aksi mendayung

sampan.

24. Lagu Mak Puyuh

~dinyanyi oleh Peran semasa bergurau.

25. Lagu Tari Inai

~mengiringi tarian inai.

26. Lagu Kisah Puteri Mak Yong

~dinyanyi oleh Puteri @ Mak Yong untuk

meluahkan perasaan.

27. Lagu Menghadap Raja

~dinyanyi peran dalam perjalanan menghadap

raja.

28. Lagu Sabar

~dinyanyi semasa melakukan aksi seperti membaca surat untuk mendedahkanmaklumat.

29. Lagu Berlari Hambat Rusa (Lagu Berjalan)

~mengiringi dalam perjalanan @ semasa memburu.

Sunday 22 September 2013

PENYELIDIKAN DAN PENDOKUMENTASIAN-MAK YONG


                          Dengan malalui proses penyelidikan yang telah dijalankan,hasil dapatannya ialah Mak Yong merupakan seni tradisional yang masih digemari oleh orang ramai. Ini kerana pada masa dahulu,Mak Yong akan dipersembahkan sebaik sahaja selepas orang kampung selelsai panen. Mak Yong juga merupakan muzik tradisional yang menggabungkan unsur-unsur ritual,lakonan serta tarian yang digayakan,muzik vokal dan juga instrumental.Dalam Mak Yong terdapat beberapa elemen penting semasa persembahan diadakan. Antara cerita-cerita yang mendapat perhatian iaitu Dewa Muda,Raja Tangkai Hati,Raja Besar,Ho Gading Endeng Tejeli dan macam-macam lagi.







VIDEO SESI LATIHAN MAK YONG

Saturday 21 September 2013

VIDEO


        Ini merupakan sesi temuramah bersama dengan En Nik Izham. Beliau merupakan salah seorang pembantu pensyarah di Akademik Seni Warisan dan Kebangsaan atau lebih dikenali "ASWARA". Banyak info atau maklumat yang berjaya kami perolehi dari sesi temuramah ini. Dalam temuramah ini juga,beliau ada menyatakan peranan atau watak,konsep muzik,alat muzik utama yang digunakan,serta serba sedikit tentang sejarah Mak Yong itu sendiri.
       
         Disini juga terdapat seorang Adiguru yang biasa dipanggil En.Nasir. Tetapi semasa sesi temuramah ini dibuat Adiguru terlibat dengan aktiviti diluar. Dengan itu, kami hanya memperolehi maklumat daripada En Nik Izham yang merupakan bekas pelajar di ASWARA.

Saturday 24 August 2013

Rumusan

              Secara kesimpulannya, saya bersama ahli kumpulan saya berpendapat kami sangat beruntung kerana dapat mengkaji dan memahami dengan lebih mendalam muzik tradisional ini.

              Muzik ini walaupun ianya popular di negeri Kelantan, namun untuk persembahan majlis-majlis tertentu ia tidak hanya di Kelantan sahaja. Di majlis-majlis seni warisan juga banyak dipersembahkan.

              Semoga seni warisan budaya melayu ini masih kekal dan akan dihayati oleh generasi muda supaya walaupun zaman makin moden, kita sebagai masyarakat melayu masih mengamalkan muzik tradisional ini sebagai satu muzik yang unik dan mempunyai nilai tersendiri.

Fungsi Dalam masyarakat

                 Persembahan Mak Yong dalam masyarakat masih aktif walaupun tidak begitu popular.Namun begitu, persembahan Mak Yong masih diadakan sekiranya ada permintaan contohnya persembahan untuk majlis-majlis tertentu. 

                Masyarakat masa kini juga masih meminati muzik tradisional ini walaupun jarang dipersembahkan secara terbuka. Persembahan Mak Yong juga dapat mengwujudkan rasa menghayati dan menghargai seni warisan budaya melayu. Selain itu juga,ia dapat mendidik generasi muda supaya tidak melupakan Mak Yong khususnya Muzik Mak Yong itu sendiri.

Tokoh Mak Yong dan Pak Yong



        
           Mek Jah binti Deris atau lebih dikenali dengan nama timang-timangannya Mek Jah. Merupakan anak kelahiran Gong Lilit, Besut, Terengganu. Pun begitu, keluarga beliau berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Perjalanan beliau sebagai pemakyong cukup mencabar dan memerlukan pengorbanan yang besar sebelum bergelar seorang primadona makyong. Di dalam mengapai cita-cita dan impian kerana setelah menyatakan hasratnya untuk belajar makyong , masih terdapat juga tentangan daripada adik beradik, namun tidak dihiraukan demi minat yang mendalam dalam seni makyong. Beliau masih lagi beruntung kerana kedua orang tua beliau memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada beliau untuk mempelajari dan mendalami ilmu makyong.

         Berbekalkan sokongan arwah bapa dan ibu, ia menjadi penyuntik semangat untuk beliau bangkit dan gigih lagi dalam usaha mendalami ilmu dan selok belok seni makyong. Beliau mula mempelajari seni persembahan makyong ketika berumur 18 tahun dan dengan gelaran seorang janda. Ketika itu, sukar bagi seseorang yang telah bergelar janda mengharungi onak ranjau dalam meneruskan minat seni ini. Dengan kecekalan dan semangat yang tinggi, beliau mampu untuk mengapainya. Tanpa ragu beliau menyatakan minat ingin mempelajari makyong kepada gurunya dan beliau diterima dengan hati oleh guru untuk mendalami ilmu-ilmu makyong . Demi minat yang mendalam beliau berpenat lelah berulang alik berjalan kaki pada setiap malam ke tempat latihan untuk menuntut ilmu makyong.

         Beliau juga sememangnya bertuah kerana dianugerahkan Allah dengan bakat dan suara yang nyaring sesuai dengan keperluan seorang pemakyong. Di awal pembelajaran, beliau telah berguru dengan seorang guru makyong bernama Pak Su Mat diikuti mak cik Zainab, pak cik Deraman dan lain-lain lagi. Sekarang ini semua guru-guru beliau telah pun meninggal dunia dan beliau memegang tanggungjawab tersebut. 

       Sememangnya telah ditakdirkan lahirnya Mek Jah sebagai mutiara sinar kepada kesinambungan empayar makyong tanah air sehingga Mek Jah mampu menguasai seni halus makyong dengan mudah pada tempoh awal proses pembelajaran beliau. Pada masa pembelajaran yang singkat beliau telah dapat menguasai seni tari dan nyayian makyong diikuti bulan kedua beliau dengan petah dapat menguasai cerita makyong. Begitulah kehebatan seorang bintang primadona makyong, kerana beliau telah dapat menunjukkan betapa hebat dan pintarnya beliau pada peringkat awalan proses pembelajaran lagi.

          Bak kata pepatah melayu ‘ke mana tumpahnya kuah kalu tidak kenasi’. Ini terbukti dimana seramai dua orang anak beliau berkebolehan dalam seni lakon makyong dan boleh bermain makyong. Darah seni Mek Jah telah mengalir dalam diri anak-anak beliau sebagai penyambung legasi seni seri panggung Mek Jah. Kehebatan Mek Jah bermain makyong juga sememangnya di akui oleh teman-teman seperjuangan seperti Mek Nab,Fatimah Abdullah, Mek Imah dan Mak cik Siti serta ramai lagi. Mek Jah juga semasa mudanya pernah mendapat jolokan nama sebagai ‘Mek Jah Musang Berjanggut’, ini kerana penangan watak dalam lakonan beliau semasa bermain rodat pada suatu masa dahulu. Kesemua kawan-kawan beliau memuji kebolehan dan kehebatan beliau bermain makyong serta sikap beliau yang suka merendah diri sehingga kini walaupun telah mendapat pengiktirafan dari pihak kerajaan dan dunia sebagai ratu seri panggung primadona makyong Melayu.

       Pengiktirafan beliau sebagai primadona makyong juga disokong oleh Pengerusi PUSAKA iaitu Encik Eddie Khoo yang telah berusaha membawa Mek Jah keperingkat antarabangsa dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara ke Perancis pada tahun 2007 sempena festival ‘Lemejenil’, dimana festival ini telah berlangsung pada setiap tahun semenjak 30 tahun yang lalu serta mendapat sambutan yang hebat dari penonton-penonton di sana.

          Semangat Mek Jah yang kental dalam mempertahan dan memartabatkan seni makyong tercapai apabila beliau dapat mewariskan seni makyong kepada pelapis-pelapis baru di Gong Lilit, Besut ini dengan mengajar pelapis-pelapis baru dengan inisiatif dan kerjasama Jabatan Warisan Negara sebagai kelangsungan legasi seni makyong untuk generasi akan datang agar tidak pupus ditelan arus kemoden dunia sejagat. Sememangnya kesusahan dan rintangan beliau pada masa lalu sehingga pernah membawa beliau bermain makyong sampai ke Pattani, Thailand semata-mata untuk mencari rezeki terbalas dengan pengiktirafan ini. Pada usia 70 tahun ini Mek Jah masih lagi aktif bermain makyong dan masih mampu bermain sehingga luar daripada negeri Terengganu sekiranya ada jemputan untuk bermain makyong. Semoga seri panggung Mek Jah Binti Deris ini boleh berbangga dengan jerih perih dan usaha beliau sehingga sampai keperingkat ini dan mendapat pengiktirafan sebagai “Primadona Makyong “ Melayu.





ROSNAN ABDUL RAHMAN
Raja Besar Senyanya


            Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Universiti Sains Malaysia . Beliau berasal dari Pokok Sena, Kedah. Minat yang mendalam dalam bidang seni persembahan menyebabkan Rosnan terpaksa melupakan terus cita-citanya untuk bergelar seorang arkitek.

         Pernah menjadi artis budaya sambilan Badan Kesenian Negeri Kedah dan telah membawa beliau menjelajah beberapa buah negara mengadakan persembahan untuk festival-festival kesenian di luar negara.

        Bertugas sebagai Penolong Pengarah Produksi di Istana Budaya mendedahkan Rosnan dengan pengalaman menguruskan produksi untuk persembahan teater dari luar negara bertaraf antarabngsa, antaranya ialah FAME The Musical, Sound Of Music, Cats dan Saturday Night Fever.

           Beliau turut terlibat dalam beberapa produksi teater dan tari tempatan, antaranya Makyung Endeng Tajeli (2007& 2008, )Monodrama Rebab Berbisik anjuran Dewan Bahasa & Pustaka (2007 & 2008), Teater Patung Kertas arahan Lokman Ghani(2008), Makyung Dewa Indera Indera Dewa (2006), Konsert Melayu Asli (2006), Muzikal Suzana@60 (2006) arahan Lokman Ghani, Muzikal Puteri Hang Li Po (2004 & 2005) arahan Rosminah Tahir, Bangsawan “Puteri Salasiah”(2002), Mak Yong Anak Raja Gondang(1998) dan Mak Yong Raja Bongsu Sakti (2000) arahan Prof. Dr. Mohamad Ghouse Nasarudin, As-Syura (1997) arahan Prof. Dr Samat Salleh, Teater Pintu (1995) arahan Hilmi Md Noh, teater Lari II (1996) arahan Roslee Mansor.

             Mendalami makyung daripada beberapa tokoh makyung seperti Mak Su Yam, Che Mat Jusoh dan Fatimah Abdullah. Selain itu, beliau kini merupakan satu-satunya Pak Yung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional makyung dan pernah mewakili Malaysia mengadakan persembahan makyung di New York, Amerika Syarikat (2007) dan Paris, Perancis (2008).

          Beliau juga turut terlibat dalam Rakaman Cerita Makyung untuk Dokumentasi UNESCO di Pura Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu pada November 2007. Kini, beliau juga menggalas tugas sebagai seorang pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Costume

PAKAIAN SEMASA PERSEMBAHAN MAK YONG

                    Pakaian Mak Yong dan Pak Yong adalah sama dalam Dramatari Melayu Mak Yong yang dijadikan hiburan di istana sejak 400 tahun dahulu. Pada zaman dahulu, pakaian mereka terdiri daripada baju sempit dan seluar dibuat daripada kain satin, yang dipadankan dengan kain samping labuh dan dikemaskan dengan tali pinggan. Mereka akan menghiaskan bahagian dada mereka dengan sibar layan atau dengan manik-manik halus berwarna-warni seperti kolar baju layang.

                   Perhiasan kepala mereka dibuat daripada baldu yang berbentuk mahkota dan berhiaskan batu-batu permata. Mereka juga memakai sunting malai di telinga. Mereka memakai tanjak atau mahkota yang diperbuat daripada kain baldu khas dan dihias dengan manikam. Bahagian atas tanjak dihias dengan beberapa kuntum bunga Melur. Pak Yong biasanya membawa seikat rotan yang dipanggil ‘rotan beta’ untuk memukul Peran. Peran pula memakai kain sarung dan sepasang seluar besar. Kain semutar yang dibuat daripada kain kapa akan diikat di pinggang Peran. Peran juga menggunakan replika parang yang dibuat daripada kayu dan menyelitkannya di pinggang.

                   Pakaian puteri juga hampir sama dengan Mak Yong. Mereka memakai kebaya sutera dan kerongsang yang dibuat daripada emas dan permata serta kain sibar. Mereka juga memakai pending, tetapi pending Mak Yong lebih cantik daripada pending puteri kerana dihiasi dengan sebutir permata. Semua pelakon dalam persembahan Mak Yong tidak memakai kasut.

                   Pelakon-pelakon lain seperti dayang memakai kebaya dan sarung sutera tetapi tidak berpending atau berkain sibar. Semua rambut pelakon mereka disanggul dan dihias bunga melur kecuali Peran.

                  Pada masa kini, pakaian persembahan Mak Yong telah dimodenkan. Mereka memakai baju kemban broked keemasan dan kain ketat yang diperindah dengan siba laying. Mereka juga menggunakan dendek untuk menghiasi dahi.







Jenis Alat

Muzik adalah begitu penting dalam persembahan Mak Yong. Tanpa muzik, maka sesuatu tarian ibarat tidak mempunyai nyawa. Maka, dalam persembahan Mak Yong, muzik adalah begitu pentingnya. Alat muzik utama yang dimainkan dalam persembahan Mak Yong adalah rebab tiga tali, sepasang gendang, dan sepasang tetawak. Namun, terdapat alat tambahan juga dimainkan dalam muzik Mak Yong untuk menambahkan kesedapan alunan melodinya. Antara alat-alat tersebut adalah canang, kesi, serunai. 

         Rebab merupakan alat yang paling penting dalam muzik Mak Yong. Rebab mempunyai 3 bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka dibuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutupi dengan kulit lembu. Terdapat susu pada muka di penjuru kiri. Fungsinya adalah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Masa dahulu, tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang pula mengunakan tali gitar, tali gambus atau tali biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan tali tangsi.

Ahli muzik yang terpenting dalam kumpulan muzik Mak Yong ialah pemain rebab dan juga dikenali sebagai Tok Minduk. Beliau adalah ketua dan juga "pemimpin" kumpulan muzik itu. Beliau memulakan semua lagu sepanjang 8 hingga 16 bar dan selepas itu diikuti oleh gendang, gong, suara penyanyi solo dan korus.

Beliau juga memberi isyarat memulakan lagu, menukar rentak dan hal-hal lain mengenai aspek muzik. Tok minduk dan ahli muzik lain menghafal kesemua lagu-lagu Mak Yong. Ia juga menjalankan istiadat buka panggung. Ahli-ahli muzik ditempatkan di sudut kiri pentas dan tok minduk duduk mengarah barat.

Unsur nyanyian dalam Mak Yong diselenggarakan oleh kesemua pelakon dan juga ahli-ahli muzik. Pelakon utama akan mula menyanyi empat atau lapan bar selepas pendahuluan dilakukan oleh tok minduk. Rangkap ini akan dinyanyikan semula oleh korus dan juga ahli-ahli muzik. Biasanya melodi pendek akan digunakan berkali-kali.

        Gong atau tetawak turut memainkan peranan yang penting. Gong ibu adalah lebih besar dari gong anak yang diperbuat dari tembaga. Bunyian gong ibu lebih rendah dari bunyian gong anak. Kedua-dua digantung dan dipisahkan oleh 2 batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukul diperbuat daripada kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat dari kayu  yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah Gong besar akan berbunyi pada setiap bit terakhir sesuatu lagu manakala gong anak akan menentukan bit-bit tertentu. Pic gong yang menentukan form dalam muzik Mak Yong.

          Gendang anak dan gendang ibu diperbuat dari kayu nangka dan muka gendang ditutupi dengan kulit lembu dan kulit kambing. Pemukulnya diperbuat dari rotan dan kayu. Gendang digunakan untuk mengawal tempo sesuatu lagu.

         Canang merupakan suatu alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat canang ibu dan canang anak. Perbezaaan canang boleh didengar melalui bunyi. Jika bunyinya adalah kuat maka itu adalah canang ibu dan sebaliknya. Canang digunakan untuk mengawal bit sesuatu lagu.

Kesi juga merupakan alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat dua bahagian pada kesi iaitu empat piring dan dua kicah dan diperbuat dari besi ataupun tembaga. Suara yang dihasilkan oleh kesi adalah memecah dan gemersik.

         Serunai juga merupakan alat muzik dalam Mak Yong. Serunai terdiri daripada empat bahagian iaitu pipit, mali, batang dan copong. Terdapat serunai diperbuat dari kayu sepenuhnya, kecuali pipit dan ada bahagian tertentu diperbuat dari tembaga. Daun tor kering digunakan untuk membuat pipit dan mali pula diperbuat dari tembaga atau perak.

Sejarah



         

                 Mak yong berasal dari kerajaan Pattani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan kerana ia hanya di warisi secara lisan. Walau bagaimanapun, berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang diperolehi menunjukkan bahawa Mak Yong berkemungkinan berusia 800 tahun. Selepas itu,barulah Mak Yong berkembang ke negeri-negeri lain serta negeri Kedah.

             Mak Yong sememangnya sesuai di saksikan oleh pelbagai lapisan umur kerana Muzik Mak Yong hanya biasa digunakan untuk menghormati semangat padi,berterima kasih dengan hasil tuaian, ataupun merawat penyakit.

             Tarian Mak Yong mula dikenali pada awal abad ke-20 dimana Tarian Mak Yong berkembang merata-rata kampung tanpa naungan istana. Tetapi apabila kemunculan British ke Kelantan menyebabkan kemerosotan mutu persembahan dalam generasi kedua. Ini kerana nilai-nila estetik telah diperalatkan dengan persembahan Mak Yong hanya dibenarkan bermula pada pukul 8.30 malam hingga 11.00 malam sahaja.Selepas itu,alat muzik bila dan akordion akan menggantikan rebab dan serunai untuk memainkan muzik joget dan semua penontn akan naik ke pentas untuk menari bersama penari-penari Mak Yong. Ini menyebabkan kemerosotan nilai moral penari-penari Mak Yong yang banyak menyebabkan keruntuhan rumahtangga.

                 Tetapi pada zaman generasi ketiga, Mak Yong telah dipelopori oleh kumpulan Seri Temengung. Kumpulan ini terdiri daripada masyarakat belia. Guru-guru Mak Yong yang terdiri daripada orang-orang lama dari generasi pertama telah diambil untuk melatih mereka dalam tarian-tarian dan nyanyian Mak Yong yang asli.

Pengenalan


                 Mak Yong merupakan satu tarian melayu tradisional yang dikategorikan dalam kumpulan drama tari/seni lakon. Persembahan Mak Yong menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Tarian Mak Yong biasanya dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau-Indonesia.

                  Terdapat beberapa tujuan Mak Yong dipersembahkan. Salah satu tujuannya adalah untuk hiburan. Pada zaman kini, Mak Yong biasanya dipersembahkan untuk tujuan persembahan dan hiburan kepada penonton sahaja. Selain itu, di sesetengah kawasan, Mak Yong juga dijadikan sebagai satu teknik perubatan tradisional (musictherapy). Mak Yong selalu dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun. Mak Yong juga dipersembahkan dalam upacara senbah guru di mana guru mak yong akan menyerahkan kuasanya kepada anak muridnya untuk mewarisi pangkatnya sebagai guru Mak Yong. selepas upacara sembah guru dilakukan, semua kerja mengajar Mak Yong akan diwarisi oleh anak murid tersebut dan guru tersebut tidak boleh lagi bergiat atau melibatkan diri dalam bidang Mak Yong.

                   Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan di panggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.

                   Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak.

Profil Kumpulan

YUSMIZAN BIN YUSOFF
PPG MUZIK AMBILAN JUN 2011

IRNIZA BINTI IBRAHIM
PPG MUZIK AMBILAN JUN 2011