Muzik adalah begitu penting dalam persembahan Mak Yong. Tanpa muzik, maka sesuatu tarian ibarat tidak mempunyai nyawa. Maka, dalam persembahan Mak Yong, muzik adalah begitu pentingnya. Alat muzik utama yang dimainkan dalam persembahan Mak Yong adalah rebab tiga tali, sepasang gendang, dan sepasang tetawak. Namun, terdapat alat tambahan juga dimainkan dalam muzik Mak Yong untuk menambahkan kesedapan alunan melodinya. Antara alat-alat tersebut adalah canang, kesi, serunai.
Rebab merupakan alat yang paling penting dalam muzik Mak Yong. Rebab mempunyai 3 bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka dibuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutupi dengan kulit lembu. Terdapat susu pada muka di penjuru kiri. Fungsinya adalah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Masa dahulu, tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang pula mengunakan tali gitar, tali gambus atau tali biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan tali tangsi.
Ahli muzik yang terpenting dalam kumpulan muzik Mak Yong ialah pemain rebab dan juga dikenali sebagai Tok Minduk. Beliau adalah ketua dan juga "pemimpin" kumpulan muzik itu. Beliau memulakan semua lagu sepanjang 8 hingga 16 bar dan selepas itu diikuti oleh gendang, gong, suara penyanyi solo dan korus.
Beliau juga memberi isyarat memulakan lagu, menukar rentak dan hal-hal lain mengenai aspek muzik. Tok minduk dan ahli muzik lain menghafal kesemua lagu-lagu Mak Yong. Ia juga menjalankan istiadat buka panggung. Ahli-ahli muzik ditempatkan di sudut kiri pentas dan tok minduk duduk mengarah barat.
Unsur nyanyian dalam Mak Yong diselenggarakan oleh kesemua pelakon dan juga ahli-ahli muzik. Pelakon utama akan mula menyanyi empat atau lapan bar selepas pendahuluan dilakukan oleh tok minduk. Rangkap ini akan dinyanyikan semula oleh korus dan juga ahli-ahli muzik. Biasanya melodi pendek akan digunakan berkali-kali.
Gong atau tetawak turut memainkan peranan yang penting. Gong ibu adalah lebih besar dari gong anak yang diperbuat dari tembaga. Bunyian gong ibu lebih rendah dari bunyian gong anak. Kedua-dua digantung dan dipisahkan oleh 2 batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukul diperbuat daripada kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat dari kayu yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah Gong besar akan berbunyi pada setiap bit terakhir sesuatu lagu manakala gong anak akan menentukan bit-bit tertentu. Pic gong yang menentukan form dalam muzik Mak Yong.
Gendang anak dan gendang ibu diperbuat dari kayu nangka dan muka gendang ditutupi dengan kulit lembu dan kulit kambing. Pemukulnya diperbuat dari rotan dan kayu. Gendang digunakan untuk mengawal tempo sesuatu lagu.
Canang merupakan suatu alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat canang ibu dan canang anak. Perbezaaan canang boleh didengar melalui bunyi. Jika bunyinya adalah kuat maka itu adalah canang ibu dan sebaliknya. Canang digunakan untuk mengawal bit sesuatu lagu.
Kesi juga merupakan alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat dua bahagian pada kesi iaitu empat piring dan dua kicah dan diperbuat dari besi ataupun tembaga. Suara yang dihasilkan oleh kesi adalah memecah dan gemersik.
Serunai juga merupakan alat muzik dalam Mak Yong. Serunai terdiri daripada empat bahagian iaitu pipit, mali, batang dan copong. Terdapat serunai diperbuat dari kayu sepenuhnya, kecuali pipit dan ada bahagian tertentu diperbuat dari tembaga. Daun tor kering digunakan untuk membuat pipit dan mali pula diperbuat dari tembaga atau perak.
No comments:
Post a Comment